Banjir merupakan satu musibah. Musibah yang dilihat daripada satu sudut negatif hujan yang diturunkan Allah swt ke muka bumi. Banjir daripada satu sudut membarikan terlalu banyak perkara duka kepada mereka yang mengalaminya sendiri seperti yang berlaku di seluruh negara, khususny adi Kelantan, Terengganu dan Pahang. Sebut apa sahaja impak buruk yang menimpa mereka, semuanya ada. Bermula daripada rumah ditengelami air dengan pantas, terpaksa berpindah ke bukit atau pusat pemindahan, terputus bekalan makanan sehingga seminggu dan bila keadaan kembali surut, mereka mendapati rumah-rumah mereka serta segala isi didalamnya hilang menjadi padang jarak padang terkukur.
Apa lagi yang dapat mereka rasakan. Apa lagi yang dapat mereka fikirkan dan apa lagi ikhtiar yang dapat mereka lakukan. Yang tinggal hanya tangga, yang tinggal hanya dinding bahkan yang tinggal hanya sisa tiang rumah di tapak yang sebelumny amenjadi tempat tidur dan rehat mereka. Tiada dapur untuk memasak, tiada kamar untuk tidur atau berehat dan tiada atap atau dinding untuk berteduh bahkan tiada sejadah untuk mengadu nasib pada Allah swt. Kereta kami entah kemana, motosikal kami sudah lama tidak ada, basikal kami pun dihanyut banjir entah kemana.
Trauma tahap apa yang harus kita labelkan kepada mangsa banjir ini. Jika gambar yang ditatap sudah cukup meruntun jiwa, jika tangisan sudah tidak membawa apa-apa makna dan jika memek muka sudah tiada emosi untuk dikongsi, trauma tahap apa yang sedang mereka alami sekarang ini. Beras sudah tiba begitu juga gula dan garam serta makanan segera yang entah berapa jenis semuanya telah mereka terima. Baju serta pelbagai jenis pakaian baru mahupun terpakai sudah melata, semuanya sudah mereka terima. Tetapi bagaimana mahu memasaknya jika elektrik dan air masih belum pulih sepenuhnya. Haruskah mereka menggunakan air sungai yang masih merah buat sekian lamanya atau membiarkan ia begitu sahaja. Bahan mentah ada tetapi dapur tiada, dapur ada tetapi gas pula mahal tidak terkata. Jika dapur dan gas ada, di manapula hendak memasaknya kerana rumah sudah rebah dan hilang entah ke mana.
Sekarang mereka membekalkan khemah kecil sama seperti anak-anak sekolah pergi camping atau pergi kem-kem motivasi. Khemah ini hanya sesuai untuk tinggal sehari dua tetapi bukan untuk bermestautin selamanya. Khemah sempit hanya sesuai untuk suami isteri sahaja tetapi bagaimana jika kami ada ramai ahli keluarga. Khemas seperti ini lantainya hanya beralas kanvas bukan kayu papan untuk selesa berbaring, khemah ini banyak tali temalinya, bagaimana ia boleh selesa untuk anak-anak bermain. Khemah ini hanya untuk ruang tidur bukan ruang bermain. Khemah ini hanya penginapan sementara tetapi bilakah rumah kami dapat kami bina kerana kami tidak mampu untuk membiayainya lagi. Khemah ini tidak ada tempat untuk memasak, tidak juga ada tempat untuk menyimpan barang apatah lagi tempat untuk menyimpan beras dan barangan sumbangan orang ramai. Khemah ini tandasnya jauh sekali, begitu juga tempat mandi. Namun itulah yang ada untuk segelintir kami buat masa ini.
No comments:
Post a Comment